Thursday, October 7, 2010

Cerpen : Terima Kasih Cikgu (Antologi Lautan Kasih -JPN Kedah)

TERIMA KASIH CIKGU
Ibrahim Bakar –IPG KSAH

Sebaik sampai  di tempat letak kereta, Nuruljannah dan Nur Farhana tersenyum  sambil berjalan laju ke arahku. Di bangunan sebelah terdengar nyaring suara guru-guru menjalankan  P&P. Aku mengekori kedua-dua orang guru pelatih menuju ke pejabat Guru Besar.  Aku dihantar sampai di muka pintu pejabat. Mereka berlalu.     Sebaik diberi kebenaran masuk ke bilik Guru Besar,mataku terpaku sebentar memerhatikan iras wajah GB yang sudah semakin dimamah usia itu. Ada sesuatu yang meruntum fikiran. Aku bernostalgia mengingatkan seseorang yang yang agak familiar  dalam hidupku.
            “Tuan, Cikgu Ridwan”. Mataku memandang tepat tanda nama.
            “Ya, saya”.
            “Tuan, pernah mengajar di SKSW, tahun 1970-an, bukan”.
            “Ya, saya”,
            “Masyaallah, bertemu juga akhirnya kita, cikgu”.
Aku terus menerpa dan memeluk Cikgu Ridwan. Dia terpaku agak lama. Terasa tangannya menepuk-nepuk belakangku.
            “Encik ni, siapa?. Kenal saya ke?”.
            “Saya bekas murid Cikgu di SKSW”.
*************************************
            “Macam tahi kerbau jatuh.  Semula”. Matanya  meyingga bagaikan harimau lapar, misainya yang melintang dan jarang terangkat sedikit.
            “Selamat petang, cikgu”. Teratur dan lendik sekali  ucapan itu.
            “Ha…, begitulah, lain kali. Selamat petang. Duduk semua”. Suara Cikgu Ridwan mengarah dalam nada yang agak keras.
            Matanya menatap setiap wajah yang begitu serasi dalam kehidupannya. Dia tidak terus duduk. Bola matanya melilau-lilau ke sekitar kelas seolah-olah mencari sesuatu. Kami semua menikus dan tidak berani berdecit barang sedikitpun, huh…tidak, hitpun tidak. Masing-masing mula kecut perut dan tidak berani mencari nahas. Kami sudah faham, kalaulah begitu keadaannya maka adalah yang tidak perkenan di hati Cikgu Ridwan. Kadang-kadang perkara yang tidak sepatutnya menjadi penting berjaya dimanipulasikan Cikgu Ridwan  dalam bentuk leteran yang panjang. Bosan dan amat membosankan.  Siksa lagi menyiksakan.
            “Mana Khalid”.
            Bagai peluru soalan itu keluar mengena setiap batang hidung kami. Senyap dan sepi bagaikan garuda menyerang. Sesekali aku menjeling dengan ekor mata ke     arah kawan-kawan yang lain. Harapan agar ada yang berani menjawab. Kalau tidak, akan adalah habuannya. Paling tidakpun tahanlah telinga mendengar ceramah dan leteran yang berjela-jela.
            “Siapa tinggal dekat rumah Khalid”.
            Tersentak aku. Terasakan darah yang mengalir dan jantung yang berdegup terhenti seketika. Terkebil-kebil. Mahu tidak mahu aku terpaksa bangun sebelum dipaksa bangun. Soalan ini memang soalan cepu emas untuk aku.
            “Saya , cikgu”.
 Rakan-rakan lain memanggung kepala yang sejak tadi tertunduk rapat. Terasakan ada satu rahmat datang bila aku memberanikan diri menjawab pertanyaan Cikgu Ridwan. Sesak nafas yang masih tersekat menyebabkan butir bicaraku tersekat-sekat. Mahu tidak mahu aku terpaksa menyahut pertanyaan itu. Memangpun aku yang tinggal  bersebelahan rumah Khalid. Kisah kehidupan kami adalah kisah bersama.
            “Apa nak jadi dengan kawan kamu, Khalid, sehari datang, sehari tidak, sehari datang, sehari tidak”. Cikgu Ridwan menghempas kuat buku rekod kehadiran ke atas meja guru.
Kami semua terkejut beruk, terkulat-kulat tanpa suara. Aku sudah dapat meramal bahawa drama lama akan berulang lagi. Nahasnya tidak tahulah siapa yang akan menjadi mangsa. Aku menguatkan semangat. Baik ribut atau taufan aku akan tetap berhadapan dengan situasi yang mencabar ini.
            “Dia ambil upah pungut kepah, cikgu”. Dengan berani suaraku memecah kebuntuan kelas. Aku rasa megah dengan jawapan itu. Akulah pembela kepada rakan-rakanku yang telah kehilangan kata sekian lama.
            “Kamupun sama. Sekejap datang, sekejap ponteng. Sama dengan Khalid. Kamupun pungut kepah juga”.
            “Ya, cikgu”.
Aku terasa pening. Kini Cikgu Ridwan berjaya mengheret aku bersama dalam permasalahan itu. Memang sudah aku jangka. Beginilah jadinya kalau berani menjawab dengan Cikgu Ridwan. Akan terpalit dan bersedialah menerima herdik sindir yang terasa ke tulang hitam.
            Dalam ketidakstabilan itu aku terbayang wajah ayah, wajah emak yang telah tua. Ayah tak mampu lagi ke laut, merempuh ombak dan gelombang  untuk mencari rezeki. Akulah sesekali ke laut menumpang perahu jiran mencari rezeki bagi menyara kehidupan dan persekolahan. Mengharap belas ihsan jiran-jiran, apalah sangat. Kehidupan merekapun tidaklah sebaik mana,  “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.
            Fikiranku terus menerawang ke segenap ceruk dan rantau tempat aku pernah hadir. Terbayang wajah Khalid yang dipenuhi selut kelebur pantai. Bukan senang untuk mendapatkan kepah. Selut dikorek, dicungkil, diangkat ke atas, diramas, kepah  dibasuh dan dimasukkan ke dalam tong plastik yang ditarik dengan tali. Hasil jualan kepah tak sebanyak mana kerana peraih meletakkan harga sesuka hati saja. Itulah rezeki dan belanja makan minum mereka sekeluarga dan duit belanja sekolah. Begitulah juga kehidupan nelayan lain yang tidak menentu. Biarpun kerajaan cuba membantu dengan pelbagai subsidi namun kehidupan mereka tidak banyak berubah. Persekolahan anak-anak tidak begitu diendahkan sangat. Yang difikirkan ialah rezeki harian untuk mengisi perut anak pinak. Bila dewasa lautlah tempat mencari rezeki. Itulah ladang, itulah padang perjuangan untuk mereka.
            “Kenapa kamu juga kerap ponteng sekolah. Kalau kamu datang, Khalid tidak datang. Apa kena dengan kamu berdua, hah”.
            Terkejut aku dari lamunan yang entah sampai ke mana. Segala lamunan hilang serta merta. Bibirku terketar-ketar. Aku cuba mengingati apa yang ditanyakan  oleh Cikgu Ridwan.
            “Kutip kepah, cikgu. Bantu ayah cari duit belanja dapur dan duit sekolah. Kami bergilir-gilir datang ke sekolah supaya kami dapat belajar di rumah  dengan bergilir meminjam nota”.
            ‘Saya tidak kira, keluarga kamu susahkah, senangkah, belajar tetap kena belajar. Saya mahu lihat suatu hari nanti kamu berjaya dalam pelajaran. Berubah dari sekarang. Zaman cikgu dulu lagi susah. Malu cikgu nak ceritakan”. Cikgu Ridwan bergegas keluar. Aku terduduk dan terdiam seketika.
*************************************
            “Hampir tiga puluh tahun kita tidak bertemu cikgu. Ingatkah cikgu, cikgu pernah memarahi saya dan Khalid kerana ponteng sekolah. Kami anak nelayan pencari kepah. Cuba cikgu ingat. Cikgu minta kami ubah nasib, berjaya dalam pelajaran”. Aku cuba mengembalikan ingatan Cikgu Ridwan kepada peristiwa tiga puluh tahun dahulu. Cikgu Ridwan  tertunduk bagaikan cuba  mengingatkan sesuatu. Bila Cikgu Ridwan memanggung kepala, aku lihat airmatanya berjuraian membasahi pipi.
            “Tahniah, muridku. Kamu telah berjaya buktikan kepada cikgu, bahawa kamu telah berjaya. Cikgu rasa puas dan gembira”. Sambil mengesap pipinya. Aku segera menyambut lalu mencium tangan Cikgu Ridwan. Aku dipeluk Cikgu Ridwan.
            “Terima kasih cikgu. Cikgu telah banyak menyedarkan kami”.
            “Di mana Khalid sekarang”.
            Los Angeles, sambung belajar, buat PHD”.
            “Alhamdulillah”. Air mata Cikgu Ridwan berjuraian semula.
            “Kirim salam dan sampaikan ucapan tahniah saya kepadanya”.
            “Cikgu, saya terpaksa beralah dulu. Guru Pelatih saya Nuruljannah dan Nur Farhana sedang menunggu untuk  penyeliaan praktikum. Lain kali kita berbual lagi”.
            Semasa penyeliaan praktikum, aku tidak dapat melupakan sepenuhnya Cikgu Ridwan. Aku bagaikan tidak percaya bagaimana garang dan bengisnya Cikgu Ridwan suatu ketika dahulu tetapi hari ini mengalirkan air mata. Memerhatikan Cikgu Nuruljannah, guru pelatih di bawah seliaanku mengajar di depan, terasakan itu adalah lakonan semula  ketika zaman persekolahanku dahulu. Bezanya Cuma gurunya adalah Cikgu Nuruljannah, seorang perempuan yang lemah lembut bukan Cikgu Ridwan, seorang lelaki yang garang dan bengis.
            Memerhatikan gelagat murid-murid dalam kelas, terasakan aku antara seorang daripadanya. Pada mulanya aku memberikan perhatian  sepenuhnya kepada P&P Cikgu Nuruljannah. Bermula dengan set induksi, langkah pertama, kedua dan belumpun berakhir P&P fikiranku melayang teringatkan kenangan manis dan pahit serta keperitan hidup ketika zaman persekolahan dulu. Dari wajah datuk, nenek, ayah, emak, Khalid, Cikgu Ridwan, kawan-kawan sekelas di sekolah, universiti, semasa ijazah pertama, ijazah kedua bermain-main dalam pemikiran  satu persatu.
            Beberapa kali aku cuba mengembalikan diri untuk menghayati pengajaran Cikgu Nuruljannah, namun gagal. Aku tersedar apabila melihat murid-murid bergerak ke hadapan bersalam dengan Cikgu Nuruljannah  sambil menyanyikan lagu “Kami Sayang Cikgu”  diikuti lagu “Guru Malaysia” yang berkumandang bersama tayangan LCD, berbetulan besok adalah “Hari Guru”. Aku lihat Cikgu Nuruljannah memerhatikan aku. Aku melarikan pandangan sambil membelek-belek buku rekod pengajaran. Aku terbaca catatan Cikgu Nuruljannah.
            Jika hari ini seorang menteri berkuasa,
            Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
            Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
            Jika hari ini seorang ulama yang mulia
            Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
            Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
            Siapa saja menjadi dewasa,
            Sejarah hanya dimulakan oleh seorang
            Guru biasa.
            Lamunanku terputus ketika murid-murid Cikgu Nuruljannah mengelilingiku untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari guru. Cikgu Nuruljannah nampak ceria seolah-olah menganggap aku menghayati P&P sebentar tadi sepenuhnya. Di luar sudah menunggu Nur Farhana.

No comments:

Post a Comment