Wednesday, October 20, 2010

Saturday, October 9, 2010

AGIHAN KURSUS MAJOR MENGIKUT SEMESTER

1.        BAHASA MELAYU PENDIDIKAN RENDAH
             

       KOD
KURSUS
KREDIT
SEM.
        BMM3101
Pengajian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
3(3+0)
1
        BMM3102
Pedagogi Bahasa Melayu Sekolah Rendah (sesi 2007)
3(2+1)
1
        BMM3102
Pedagogi Bahasa Melayu Sekolah Rendah (sesi 2009 tambahan topik Pendidikan Keselamatan Jalan Raya)
3(2+1)
1
        BMM3117
Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (sesi 2010 menggantikan BMM3102)
3(2+1)
1
       BMM3103
Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
3(2+1)
2
      BMM3104              
Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu
3(2+1)
2
      BMM3105
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer
3(0+3)
3
      BMM3106
Pemulihan dan Pengayaan Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
3(3+0)
3
       BMM3107
Pengantar Linguistik Bahasa Melayu
2(2+0)
4
       BMM3108
Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu
3(3+0)
4
      BMM3109
Morfologi Bahasa Melayu
3(3+0)
5
      BMM3110
Sintaksis Bahasa Melayu
3(3+0)
5
      BMM3111
Semantik dan Peristilahan Bahasa Melayu
2(2+0)
6
      BMM3112
Sejarah Bahasa Melayu, Perkamusan dan Terjemahan
3(3+0)
6
        BMM3113  
Penyelidikan Tindakan I - Bahasa Melayu Pendidikan Rendah (Kaedah)
3(3+0)
7
        BMM3114         
Kebudayaan Melayu
2(2+0)
7
        BMM3115
Penyelidikan Tindakan II - Bahasa Melayu Pendidikan Rendah (Pelaksaanaan dan Pelaporan)
3(0+3)
8
       BMM3116
Genre Kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu
3(3+0)
8

Jumlah
 45 (34%)

Thursday, October 7, 2010

Cerpen : Terima Kasih Cikgu (Antologi Lautan Kasih -JPN Kedah)

TERIMA KASIH CIKGU
Ibrahim Bakar –IPG KSAH

Sebaik sampai  di tempat letak kereta, Nuruljannah dan Nur Farhana tersenyum  sambil berjalan laju ke arahku. Di bangunan sebelah terdengar nyaring suara guru-guru menjalankan  P&P. Aku mengekori kedua-dua orang guru pelatih menuju ke pejabat Guru Besar.  Aku dihantar sampai di muka pintu pejabat. Mereka berlalu.     Sebaik diberi kebenaran masuk ke bilik Guru Besar,mataku terpaku sebentar memerhatikan iras wajah GB yang sudah semakin dimamah usia itu. Ada sesuatu yang meruntum fikiran. Aku bernostalgia mengingatkan seseorang yang yang agak familiar  dalam hidupku.
            “Tuan, Cikgu Ridwan”. Mataku memandang tepat tanda nama.
            “Ya, saya”.
            “Tuan, pernah mengajar di SKSW, tahun 1970-an, bukan”.
            “Ya, saya”,
            “Masyaallah, bertemu juga akhirnya kita, cikgu”.
Aku terus menerpa dan memeluk Cikgu Ridwan. Dia terpaku agak lama. Terasa tangannya menepuk-nepuk belakangku.
            “Encik ni, siapa?. Kenal saya ke?”.
            “Saya bekas murid Cikgu di SKSW”.
*************************************
            “Macam tahi kerbau jatuh.  Semula”. Matanya  meyingga bagaikan harimau lapar, misainya yang melintang dan jarang terangkat sedikit.
            “Selamat petang, cikgu”. Teratur dan lendik sekali  ucapan itu.
            “Ha…, begitulah, lain kali. Selamat petang. Duduk semua”. Suara Cikgu Ridwan mengarah dalam nada yang agak keras.
            Matanya menatap setiap wajah yang begitu serasi dalam kehidupannya. Dia tidak terus duduk. Bola matanya melilau-lilau ke sekitar kelas seolah-olah mencari sesuatu. Kami semua menikus dan tidak berani berdecit barang sedikitpun, huh…tidak, hitpun tidak. Masing-masing mula kecut perut dan tidak berani mencari nahas. Kami sudah faham, kalaulah begitu keadaannya maka adalah yang tidak perkenan di hati Cikgu Ridwan. Kadang-kadang perkara yang tidak sepatutnya menjadi penting berjaya dimanipulasikan Cikgu Ridwan  dalam bentuk leteran yang panjang. Bosan dan amat membosankan.  Siksa lagi menyiksakan.
            “Mana Khalid”.
            Bagai peluru soalan itu keluar mengena setiap batang hidung kami. Senyap dan sepi bagaikan garuda menyerang. Sesekali aku menjeling dengan ekor mata ke     arah kawan-kawan yang lain. Harapan agar ada yang berani menjawab. Kalau tidak, akan adalah habuannya. Paling tidakpun tahanlah telinga mendengar ceramah dan leteran yang berjela-jela.
            “Siapa tinggal dekat rumah Khalid”.
            Tersentak aku. Terasakan darah yang mengalir dan jantung yang berdegup terhenti seketika. Terkebil-kebil. Mahu tidak mahu aku terpaksa bangun sebelum dipaksa bangun. Soalan ini memang soalan cepu emas untuk aku.
            “Saya , cikgu”.
 Rakan-rakan lain memanggung kepala yang sejak tadi tertunduk rapat. Terasakan ada satu rahmat datang bila aku memberanikan diri menjawab pertanyaan Cikgu Ridwan. Sesak nafas yang masih tersekat menyebabkan butir bicaraku tersekat-sekat. Mahu tidak mahu aku terpaksa menyahut pertanyaan itu. Memangpun aku yang tinggal  bersebelahan rumah Khalid. Kisah kehidupan kami adalah kisah bersama.
            “Apa nak jadi dengan kawan kamu, Khalid, sehari datang, sehari tidak, sehari datang, sehari tidak”. Cikgu Ridwan menghempas kuat buku rekod kehadiran ke atas meja guru.
Kami semua terkejut beruk, terkulat-kulat tanpa suara. Aku sudah dapat meramal bahawa drama lama akan berulang lagi. Nahasnya tidak tahulah siapa yang akan menjadi mangsa. Aku menguatkan semangat. Baik ribut atau taufan aku akan tetap berhadapan dengan situasi yang mencabar ini.
            “Dia ambil upah pungut kepah, cikgu”. Dengan berani suaraku memecah kebuntuan kelas. Aku rasa megah dengan jawapan itu. Akulah pembela kepada rakan-rakanku yang telah kehilangan kata sekian lama.
            “Kamupun sama. Sekejap datang, sekejap ponteng. Sama dengan Khalid. Kamupun pungut kepah juga”.
            “Ya, cikgu”.
Aku terasa pening. Kini Cikgu Ridwan berjaya mengheret aku bersama dalam permasalahan itu. Memang sudah aku jangka. Beginilah jadinya kalau berani menjawab dengan Cikgu Ridwan. Akan terpalit dan bersedialah menerima herdik sindir yang terasa ke tulang hitam.
            Dalam ketidakstabilan itu aku terbayang wajah ayah, wajah emak yang telah tua. Ayah tak mampu lagi ke laut, merempuh ombak dan gelombang  untuk mencari rezeki. Akulah sesekali ke laut menumpang perahu jiran mencari rezeki bagi menyara kehidupan dan persekolahan. Mengharap belas ihsan jiran-jiran, apalah sangat. Kehidupan merekapun tidaklah sebaik mana,  “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.
            Fikiranku terus menerawang ke segenap ceruk dan rantau tempat aku pernah hadir. Terbayang wajah Khalid yang dipenuhi selut kelebur pantai. Bukan senang untuk mendapatkan kepah. Selut dikorek, dicungkil, diangkat ke atas, diramas, kepah  dibasuh dan dimasukkan ke dalam tong plastik yang ditarik dengan tali. Hasil jualan kepah tak sebanyak mana kerana peraih meletakkan harga sesuka hati saja. Itulah rezeki dan belanja makan minum mereka sekeluarga dan duit belanja sekolah. Begitulah juga kehidupan nelayan lain yang tidak menentu. Biarpun kerajaan cuba membantu dengan pelbagai subsidi namun kehidupan mereka tidak banyak berubah. Persekolahan anak-anak tidak begitu diendahkan sangat. Yang difikirkan ialah rezeki harian untuk mengisi perut anak pinak. Bila dewasa lautlah tempat mencari rezeki. Itulah ladang, itulah padang perjuangan untuk mereka.
            “Kenapa kamu juga kerap ponteng sekolah. Kalau kamu datang, Khalid tidak datang. Apa kena dengan kamu berdua, hah”.
            Terkejut aku dari lamunan yang entah sampai ke mana. Segala lamunan hilang serta merta. Bibirku terketar-ketar. Aku cuba mengingati apa yang ditanyakan  oleh Cikgu Ridwan.
            “Kutip kepah, cikgu. Bantu ayah cari duit belanja dapur dan duit sekolah. Kami bergilir-gilir datang ke sekolah supaya kami dapat belajar di rumah  dengan bergilir meminjam nota”.
            ‘Saya tidak kira, keluarga kamu susahkah, senangkah, belajar tetap kena belajar. Saya mahu lihat suatu hari nanti kamu berjaya dalam pelajaran. Berubah dari sekarang. Zaman cikgu dulu lagi susah. Malu cikgu nak ceritakan”. Cikgu Ridwan bergegas keluar. Aku terduduk dan terdiam seketika.
*************************************
            “Hampir tiga puluh tahun kita tidak bertemu cikgu. Ingatkah cikgu, cikgu pernah memarahi saya dan Khalid kerana ponteng sekolah. Kami anak nelayan pencari kepah. Cuba cikgu ingat. Cikgu minta kami ubah nasib, berjaya dalam pelajaran”. Aku cuba mengembalikan ingatan Cikgu Ridwan kepada peristiwa tiga puluh tahun dahulu. Cikgu Ridwan  tertunduk bagaikan cuba  mengingatkan sesuatu. Bila Cikgu Ridwan memanggung kepala, aku lihat airmatanya berjuraian membasahi pipi.
            “Tahniah, muridku. Kamu telah berjaya buktikan kepada cikgu, bahawa kamu telah berjaya. Cikgu rasa puas dan gembira”. Sambil mengesap pipinya. Aku segera menyambut lalu mencium tangan Cikgu Ridwan. Aku dipeluk Cikgu Ridwan.
            “Terima kasih cikgu. Cikgu telah banyak menyedarkan kami”.
            “Di mana Khalid sekarang”.
            Los Angeles, sambung belajar, buat PHD”.
            “Alhamdulillah”. Air mata Cikgu Ridwan berjuraian semula.
            “Kirim salam dan sampaikan ucapan tahniah saya kepadanya”.
            “Cikgu, saya terpaksa beralah dulu. Guru Pelatih saya Nuruljannah dan Nur Farhana sedang menunggu untuk  penyeliaan praktikum. Lain kali kita berbual lagi”.
            Semasa penyeliaan praktikum, aku tidak dapat melupakan sepenuhnya Cikgu Ridwan. Aku bagaikan tidak percaya bagaimana garang dan bengisnya Cikgu Ridwan suatu ketika dahulu tetapi hari ini mengalirkan air mata. Memerhatikan Cikgu Nuruljannah, guru pelatih di bawah seliaanku mengajar di depan, terasakan itu adalah lakonan semula  ketika zaman persekolahanku dahulu. Bezanya Cuma gurunya adalah Cikgu Nuruljannah, seorang perempuan yang lemah lembut bukan Cikgu Ridwan, seorang lelaki yang garang dan bengis.
            Memerhatikan gelagat murid-murid dalam kelas, terasakan aku antara seorang daripadanya. Pada mulanya aku memberikan perhatian  sepenuhnya kepada P&P Cikgu Nuruljannah. Bermula dengan set induksi, langkah pertama, kedua dan belumpun berakhir P&P fikiranku melayang teringatkan kenangan manis dan pahit serta keperitan hidup ketika zaman persekolahan dulu. Dari wajah datuk, nenek, ayah, emak, Khalid, Cikgu Ridwan, kawan-kawan sekelas di sekolah, universiti, semasa ijazah pertama, ijazah kedua bermain-main dalam pemikiran  satu persatu.
            Beberapa kali aku cuba mengembalikan diri untuk menghayati pengajaran Cikgu Nuruljannah, namun gagal. Aku tersedar apabila melihat murid-murid bergerak ke hadapan bersalam dengan Cikgu Nuruljannah  sambil menyanyikan lagu “Kami Sayang Cikgu”  diikuti lagu “Guru Malaysia” yang berkumandang bersama tayangan LCD, berbetulan besok adalah “Hari Guru”. Aku lihat Cikgu Nuruljannah memerhatikan aku. Aku melarikan pandangan sambil membelek-belek buku rekod pengajaran. Aku terbaca catatan Cikgu Nuruljannah.
            Jika hari ini seorang menteri berkuasa,
            Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
            Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
            Jika hari ini seorang ulama yang mulia
            Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
            Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
            Siapa saja menjadi dewasa,
            Sejarah hanya dimulakan oleh seorang
            Guru biasa.
            Lamunanku terputus ketika murid-murid Cikgu Nuruljannah mengelilingiku untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari guru. Cikgu Nuruljannah nampak ceria seolah-olah menganggap aku menghayati P&P sebentar tadi sepenuhnya. Di luar sudah menunggu Nur Farhana.

Wednesday, October 6, 2010

sajak: Mentafsir Kebesaran MU

MENTAFSIR KEBESARANMU
(Dua Jam Selepas Tsunami)
Selepas tragedi
mentafsir kebesaranMu
Kuala Sungai Muda, kampung mertuaku
deru ombak rezeki bertukar ganas
menggembur selut amarah
palitan catatan sejarah duka
puluhan tahun kami di sini.

Kuala Sungai Muda, kampung mertuaku
air selut masih menitis dari daun kelapa
deruan ombak masih kedengaran
panorama petaka mengungkap trauma
wajah-wajah peluh dalam basah
pastipun ombak dan laut teman hidup
berzaman lamanya.

Mengatur langkah
menyelusuri jalan kampung mertuaku
bergelimpangan kayu, kaca dan sarap
rumah ranap dihempas ombak
nasi kenduri belum sempat disantap
kenderaan tetamu tersadai di hutan nipah
ada darah masih merah berjejeran
ada mayat baru diangkat pergi
termanggu  memikirkan
menilai diri.

Trauma dan tergamam aku
petaka apa ya Rabbi
26 Disember mencatat gempar ‘Tsunami’
dada laut semak dengan perahu nelayan
dada diri semak dengan persoalan
tiada lagi harga dapat ditafsirkan
muhasabah diri Tuhan penentu segala.

Amarah ini
meleraikan kelalaian dan ketelanjuran
bersama makrifat yang benar dan kekal
lalu kita seharusnya bijak mentafsir.


Ibrahim Bakar,                                                                        26 Disember 2004.
Kuala Sungai Muda,
Kedah Darul Aman.

Tuesday, October 5, 2010

KRITIKAN SASTERA

KRITIKAN SASTERA (LITERATURE CRITICS)

TAJUK   :   BAHASA WANITA: YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT DI DALAM LARUNG.
              
Pendahuluan:   Bahasa Wanita.

¨       Mengikut Elaine Showalter (Sohaimi: 2003) dalam eseinya “Towards A Feminist Poetics”, beliau menyatakan bahawa terdapat dua pendekatan yang dasar dalam kritikan feminis, iaitu kritik feminis (feminist critique) dan gainokritik (gynocritique).

¨       Kritik feminis merupakan satu pendekatan yang memberi perhatian kepada wanita sebagai pembaca, iaitu wanita sebagai pembaca kepada karya sastera yang dihasilkan oleh lelaki.

¨       Manakala gainokritik merupakan karya yang dihasilkan oleh wanita. Oleh itu, segala yang berkaitan dengan kreativiti, bahasa, sejarah sastera, pengarang, dan hasilnya berpaksi kepada wanita. Dalam hal ini, Rosnah Baharudin (Wacana Wanita Melayu dan Sastera: 2003) menjelaskan bahawa wanita sebagai “producer”. Jadi, apa-apa sahaja yang ditulis adalah tentang wanita dan daripada wanita.

¨       Justeru itu, dalam kajian ini yang berkaitan dengan bahasa wanita antara yang tersurat dan yang tersirat di dalam novel Larung adalah hasil karya daripada buah tangan wanita, iaitu Ayu Utami yang cuba mengupas masalah-masalah dan persoala-persoalan yang melingkari dunia wanita.


Bahasa Wanita: Yang Tersurat dan Yang Tersirat di dalam Larung.

¨       Larung merupakan sebuah novel yang dihasilkan oleh wanita iaitu, Ayu Utami. Persoalan-persoalan yang berkaitan seks yang dihadapi oleh keempat-empat watak wanita yang menggerakkan novel ini digarap dengan baik oleh Ayu Utami.

¨       Katrin Bandel (Heteronormatifitas dan Falosentrisme Ayu Utami: 1) berpendapat bahawa novel Saman (1998) dan Larung (2001), sering disebut sebagai contoh karya dengan ciri “keterbukaan baru” dalam membicarakan seksualitas. Pada bahagian-bahagian novel yang menceritakan keempat tokoh perempuan – Shakuntala, Laila, Yasmin, dan Cok – seks menjadi tema utama. Perilaku seksual yang diceritakan hampir sepenuhnya bertentangan dengan norma masyarakat (Indonesia), iaitu  bukan hubungan heteroseksual yang disahkan oleh surat nikah.

¨       Berkaitan dengan aspek bahasa, (Ayu Utami Bantah Novelnya Berbumbu Seks: 7/8/2006) Ayu Utami memilih kata-kata yang vulgar (kasar/kesat) kerana menurutnya dia ingin membebaskan bahasa Indonesia dari eufimisme (penghalusan kata) yang berlebihan.

“Karena kalau saya sering menggunakan pilihan kata yang dihaluskan,
maka akan terjadi penyesatan kata. Saya tidak yakin bahawa eufimisme
itu bias menghilangkan pikiran kotor. Penghalus kata itu justru menjadikan
erotisme pada kata yang sebetulnya tidak erotis,”

¨       Dalam kajian ini, tumpuan akan diberikan kepada empat watak wanita iaitu, Shakuntala, Laila, Yasmin, dan Cok yang merupakan penggerak kepada perkembangan permasalahan di dalam novel ini.

1.   COK (COKORDA GITA  MAGARESA)

¨       Pemilihan kata (Diksi) untuk panggilan nama kepada Cok iaitu, si Tetek dan kemudiannya si Perek membawa tafsiran yang pelbagai, antara yang tersurat dan yang tersirat.

  1. Menurut Sumarwan (8/8/2006: 3), sebutan si Tetek yang diberi oleh Shakuntala amat membanggakan Cok kerana sebagai lambang tersurat Cok mempunyai payudara yang besar. Secara tersiratnya, mempunyai payu dara yang besar (si Tetek) tentunya menjadi suatu kebanggaan dan kemegahan kepada seorang  wanita seperti Cok yang sentiasa bertukar ganti teman tidur.

¨       Tetapi panggilan si Perek yang diberi oleh Yasmin amat tidak disenangi oleh Cok (Sumarwan: 3). Secara tersuratnya si Perek diberi nama panggilan kepada Cok kerana mungkin Yasmin melihat Cok mempunyai pacar yang banyak dan tentunya tahu apa yang pasti mereka lakukan.
Aku tak tahu, apakah karena melihat pacarku banyak atau
karena tahu apa yang aku lakukan dengan mereka, Yasmin
kemudian menyebutku si Perek.
                                                                                (Larung: 83)

¨       Namun, secara tersiratnya pada Cok, panggilan si Perek ini membawa maksud sesuatu yang negatif, iaitu berkaitan dengan kebejatan dan penghinaan kepadanya. Panggilan si Perek pada Cok merupakan satu ketidakadilan kerana memberi gambaran seolah-olah Cok seorang yang bersalah, seperti pelacur yang bejat dan hina.

Kadang aku jengkel, apapun yang kita lakukan, yang juga
dilakukan oleh lelaki, kok kita yang mendapat cap jelek.
Laki-laki tidur bergantian dengan banyak cewek akan dicap
jagoan. Arjuna. Tapi perempuan yang tidur  bergantian dengan
banyak lelaki akan dibilang piala bergilir. Pelacur. Apapun yang
kita lakukan, kita selalu dianggap obyek. Bahkan oleh sesama
perempuan.
                                                                                (Larung: 83-84)

¨       Jelaslah bahawa, penggunaan diksi si Tetek dan si Perek membawa maksud yang tersurat dan tersirat dalam pembentukan perwatakan Cok. Hal ini turut memberi sokongan kepada persoalan yang dibawa oleh Ayu Utami tentang dunia permasalahan dan pergolakan wanita yang terlibat dengan patriarkal.

2.   SHAKUNTALA

¨       Merupakan watak seorang penari yang hebat yang bergerak dalam dua posisi iaitu sebagai seorang wanita dan pada masa yang sama juga boleh mempunyai naluri laki-laki.

  1. Ayu Utami telah meletakkan watak Shakuntala dalam pencarian alternatif untuk melampaui oposisi biner ‘laki-laki><wanita’. Dalam hal ini, Shakuntala telah merenung tentang ‘kelaki-lakian seorang perempuan’ (Sumarwan: 8/8/2006).

“Ya. Aku ini perempuan juga lelaki”
                                                                (Larung: 129)
dan;
Namaku hanya satu: Shakuntala
Tapi sering aku merasa ada dua dalam diriku. Seorang perempuan,
seorang lelaki, yang saling berbagi sebuah nama yang tak mereka pilih.
Aku lupa sejak kapan kutahu bahwa aku anak perempuan …
Tetapi lelaki dalam diriku datang suatu hari. Tak ada yang memberi tahu
dan ia tak memperkenalkan diri, tapi kutahu dia adalah diriku laki-laki.
Ia muncul sejak usiaku amat muda, ketika itu aku menari baling-baling.
                                                                (Larung: 133)

¨       Hal ini menjelaskan secara tersurat bahawa Shakuntala berdasarkan nama memang dilahirkan sebagai anak perempuan. Walau bagaimanapun, secara tersirat melambangkan seseorang yang mempunyai dua naluri keinginan yang boleh bertindak dalam satu masa. Tuntasnya, Shakuntala sebenarnya terlibat dalam dunia lesbian. Hal ini sebagaimana ditampilkan dalam hubungannya dengan Laila, dan dia merupakan orang pertama yang menodai Laila.

Sesaat ia menunggu ketukan musik. Lalu ia masuk dalam alur
permainan kaki dengan hentakan, belitan yang lincah dan bertenaga
sehingga saya berdecak. Ia menarik saya dan menarikan kaki-kakinya
pada kaki-kaki saya. “Penari lelaki dan perempuan saling menyisipkan
kaki di sela kedua kaki pasangannya,” katanya. “Pada pinggul ke
bawahlah letak kesulitan dan keindahannya.”
                                                                (Larung: 131)

  1. Di dalam novel ini,  secara tersuratnya Shakuntala bercerita bagaimana untuk membentuk laki-laki menjadi laki-laki sejati. Bermula dengan menunjukkan oposisi biner ‘laki-laki’>< ‘perempuan’ beserta hiarkinya dalam kebudayaan kita. Di sini Shakuntala tidak memakai kata perempuan tetapi wanita, jadi oposisi binernya antara ‘laki-laki’>< ‘wanita’ (Sumarwan: 8/8/2006).

AKU MEMPUNYAI kakak lelaki. Dia anak pertama ayah-ibuku.
Orangtuaku percaya bahwa laki-laki cenderung rasional dan wanita
emosional. Pria membangun dan wanita memelihara. Maka Bapak
mengajari abangku menggunakan akal untuk mengontrol dunia,
juga badan. Aku tak pernah dipaksanya untuk hal yang sama,
sebab ia percaya pada hakikatnya aku tak mampu. WANITA
DICIPTAKAN DARI IGA. KARENA ITU IA DITAKDIRKAN
MEMILIKI KECENDERUNGAN UNTUK BENGKOK SEHINGGA
HARUS DILURUSKAN OLEH PRIA. (SURAT XIV, 1266)
                                                                                (Larung: 136)

¨       Bahasa penceritaannya mudah difahami iaitu, tentang harapan seorang bapa terhadap anak lelakinya supaya tampil hebat sehingga boleh menguasai dunia dengan kekuatan akal, dan pandangan bapanya berbeza sekali terhadap Shakuntala, seorang perempuan yang tidak mampu melakukannya seperti laki-laki.

¨       Antara yang tersirat ialah menggambarkan bahawa wanita sebenarnya adalah lemah dan perlu dilindungi oleh kaum lelaki. Wanita dianggap seolah-olah tidak mampu menguasai diri sendiri (emosional) dan perlu dikasihi.  Sebagaimana menurut pandangan Sumarwan (Larung dan Dekonstruksi Wacana Patriarkal: 6) surat tersebut tetap merupakan representasi sah mengenai stereotipe terhadap perempuan dalam wacana patriarkal yaitu emosional, mengasihi, memelihara, tak bisa mengontrol badan (apalagi dunia), dan juga cenderung bengkok (tak sempurna). Hal ini bermakna secara tersirat segala kebengkokan itu (yang ada pada wanita) harus, atau boleh diperbetulkan oleh lelaki.

  1. Selain itu, melalui penceritaan oleh Shakuntala pengagungan terhadap dominasi laki-laki juga dapat dilihat pada pelajaran pertama Bapak terhadap anak laki-lakinya.

Inilah pelajaran pertama Bapak. Ia mengutip: BAHKAN AIR
SENI WANITA BERBAU LEBIH TAJAM DAN AMIS
DIBANDING AIR SENI PRIA. (N.S., 1987)
                                                                                (Larung: 137)
dan;
“Tempat laki-laki, Nak,” katanya, “adalah DI ATAS.”
                                                                                (Larung: 137)

¨       Secara tersuratnya, daripada sumber pelajaran pertama oleh Bapak, iaitu dikutip pada
tahun 1987 menunjukkan wacana tersebut mengagung-agungkan laki-laki. Hal ini diperkuatkan lagi oleh kata-kata Bapaknya bahawa kaum lelaki mesti berada di atas. Sebagai merealisasikan kata-kata Bapaknya, maka abangnya telah diajar memanjat  pohon kelapa.

¨       Secara tersiratnya, pemerian bahasa yang mengaitkan wanita dengan bau yang tajam dan amis seolah-olah meletakkan martabat wanita tidak sehebat lelaki. Dengan kata lain, Sumarwan (8/8/2006: 6) menggambarkan bahawa laki-laki sebagai pelindung dan perempuan sebagai yang dilindungi; laki-laki ditampilkan sebagai yang kuat, sementara perempuan sebagai yang lemah.

  1. Shakuntala mempunyai seorang abang yang selalu ingin dilihat oleh bapanya sebagai seorang lelaki yang hebat. Malah, dalam novel Larung, tokoh abang Shakuntala ditampilkan sebagai wujud atau lambang falosentrisme par excellence yang akhirnya menghasikan kematiannya (Katrin Bandel: 7/8/2006).



¨       Menurut Katrin Bandel (7/8/2006: 2), adalah sebaliknya bagi Shakuntala;

Keputusan-keputusanku diperintah oleh dorongan tubuh
untuk menari. Sebab bagiku menari adalah menjadi . Aku
juga memanjat pohon kelapa, tapi karena tubuhku ingin
menjadi kera. Aku juga mengapung di sungai, karena tubuhku
                                ingin menjadi tinja. Tubuhku hanya ingin menjadi.
                                                                                                                (Larung: 140)

¨       Secara tersuratnya, gambaran di atas merupakan perwatakan Shakuntala sebagai seorang penari. Sebagai seorang penari, Shakuntala memiliki bukan saja wajah tapi juga tubuh yang cantik. Setiap pergerakan tariannya adalah didorong oleh gerakan tubuhnya yang cantik. Namun, secara tersiratnya dalam sebuah esei berjudul “Membantah Mantra, Membantah Subjek” dalam jurnal Kalam (Katrin Bandel: 7/8/2006) Ayu Utami secara langsung menghubungkan sikap Shakuntala itu dengan sikapnya sendiri sebagai pengarang. Ayu mengatakan,

“Mengarang, bagi saya,adalah kesediaan melibatkan,
meleburkan diri, dan menerima kemungkinan-kemungkinan
yang tak direncanakan.”
                                                                                                                                               
¨       Pengucapan ini mirip dengan ungkapan Shakuntala (Larung: 140). Dengan pilihannya untuk “menjadi tidak genap” (seperti novel Ayu yang diterbitkan sebagai “fragmen”) biseksualitasnya dan pemberontakannya, Shakuntala menjadi semacam tokoh perempuan ideal yang sekaligus melambangkan “filsafat posmo” yang dipilih Ayu sebagai kredo kepengarangannya (Katrin Bandel: 7/8/2006).

¨       Jelaslah bahawa Ayu Utami sebagai penulis wanita telah berjaya mengekploitasi ideanya untuk mengupas isu permasalahan wanita secara jujur sama ada dari aspek sosial mahupun sejarah pengarang itu sendiri.

3.   LAILA

¨       Berbeza dengan watak Cok, Laila seorang fotografi, agak konservatif dan gagal menguasai Sihar menyebabkan dia menderita jiwa dan batin. Kesan daripada kegagalan menguasai kekasih gelapnya, Laila telah dikuasai oleh Shakuntala yang dikatakan mempunyai dua naluri.
1.       Di tangan Ayu Utami, beliau telah mengupas tentang kegagalan Laila untuk menguasai Sihar, sebaliknya menurut Sumarwan (8/8/2006: 4) Laila amat terkunkung oleh cintanya pada Sihar, seorang laki-laki yang sudah beristri.

“Sihar, jangan cemas. Saya tak akan mengganggu perkawinanmu,”
Kamu menjawab: “Dirikulah yang kutakutkan.”
Katamu, “Sebab aku bukan orang yang biasa tidak melibatkan
perasaan dalam hubungan lelaki-perempuan. Aku akan
tergantung padamu, kamu akan tergantung padaku. Itu berbahaya.
Aku punya keluarga.”
                                                                (Larung: 98)
¨       Secara tersuratnya, gambaran ini seolah-olah Sihar seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap rumah tangganya, dan tidak sanggup menduakan kasih terhadap isterinya (walhal, realitinya dia sudah bercumbu, malah tidur sekatil dengan Laila).  Manakala Laila digambarkan seorang gadis perawan yang terlalu mengharapkan cinta daripada seorang lelaki, seperti Sihar.

¨       Walau bagaimanapun, tersiratnya paparan ini sebenarnya Ayu Utami ingin menggali permasalahan wanita yang telah lewat usia (30an) yang terlalu mengharapkan dambaan kasih sayang seorang lelaki. Malangnya, yang tersirat pada watak Sahir ialah, beliau sebenarnya tidak mampu menunjukkan kejantanannya kepada Laila dan bukannya tidak mahu Laila menaruh harapan terhadapnya atas alasan dia telah mempunyai isteri.

¨       Tuntasnya, Ayu Utami telah menggunakan segala kreativitinya untuk meletakkan watak Laila seorang wanita yang gagal menguasai lelaki bukan kerana kekurangannya tetapi sebaliknya disebabkan ketidakjantanan lelaki bernama Sahir.


4.   YASMIN MONINGKA

¨       Yasmin, seorang pengacara yang cantik, dan pada masa yang sama juga terlibat dengan aktiviti gerakan bawah tanah.

1.       Walau bagaimanapun, watak Yasmin digambarkan mempunyai fantasi seksual
yang sangat liar. Yasmin mempunyai khayalan seksual masa kanak-kanak ‘yang aneh’ (Sumarwan: 8/8/2006). Hal ini terjadi sewaktu Yasmin di kelas nol, dia telah tertarik pada teman lelakinya yang bernama Julian.

                                Dia kelas nol besar dan aku nol kecil. Anaknya jangkung
                                untuk ukuran sebayanya. Kakinya panjang dan ia sering
                                mengenakan kaus garis-garis. Aku selalu bersemangat untuk
                                melihatnya ketika keluar-main. Dan aku selalu membayangkan
                                penis di balik celana pendeknya, pada pangkal kakinya
                                yang ramping.
                                                                                                                (Larung: 158)

¨       Secara tersuratnya watak Yasmin terus berkembang dalam posisi seks yang agak
keterlaluan. Walaupun Yasmin digambarkan telah bersama dengan Lukas sebelum mereka menikah, dan kemudiannya dia mempunyai hubungan sulit dengan Saman setelah berkahwin dengan Lukas. Sewaktu bersama Lukas, Yasmin membayangkan kehebatan Lukas malangnya Lukas tidak sehebat yang diingininya.
                                Ketika aku bersetubuh dengan Lukas jauh sebelum kami
                                menikah, barangkali kukira dia bisa memenuhi fantasi tentang
                                lelaki yang dominan.
                                                                                                                (Larung: 160)

¨       Yasmin juga menjalin hubungan sulitnya dengan Saman.
Sprei telah dibereskan dan ia telah merapikan rambut
dengan sisa butir-butir keringat. Mereka telah bersetubuh
dengan rasa bersalah yang mengghairahkan. Sebulan
yang lalu. Tidak, lebih dari sebulan yang lalu.
                                                                                (Larung: 163)

¨       Keseluruhan watak Yasmin digambarkan seorang wanita yang mengeksploitasi seks dalam
hidupnya. Walau bagaimanapun, yang tersirat di sebalik gambaran watak Yasmin ini sebenarnya pengarang menggarapkan watak Yasmin sebagai seorang wanita yang mahukan lelaki menguasai atau mendominasinya dalam hubungan seks. Sebagaimana menurut Sumarwan (8/8/2006: 10) bahawa ia merindukan penghukuman. Ia merindukan dominasi. Kerinduannya itu bertentangan dengan citra yang ia bangun selama ini: Yasmin yang mandiri, yang selalu punya keputusan rasional, pengacara yang cukup dihormati, aktivitis hak asasi manusia  (dan di dalamnya adalah hak-hak asasi perempuan). Inikah kesulitan yang dihadapi oleh para perempuan yang memperjuangkan feminisme? Samalah juga dengan pendapat Widya Prasetyanti (Kisah Heroik Masa Kini: 8/8/2006) bahawa Yasmin seorang perempuan- aktivis dan penga-cara sukses yang mengerti persoalan advokasi, selalu bicara lantang tentang human rights dan liberalisme, mendukung aksi-aksi massa dan gerakan bawah tanah, tetapi menjadi korban atas nama kebebasan yang diperjuangkannya; perempuan tidak berkutik ketika mencium bau birahi lelaki.

Kesimpulannya

¨       Jelaslah apa yang dipaparkan oleh Ayu Utami dalam novel Larung menggambarkan permasalahan dan pergolakan  dalam diri wanita  yang hidup dalam kekangan dunia kaum lelaki yang disampaikan secara tersurat dan tersirat.

Disediakan oleh:
PN. ARFAH BT AHAMAD, JPM,IPG KSAH, 08000 SUNGAI PETANI
BIBLIOGRAFI
Ayu Utami (2004). Larung. Jakarta: KPG (Kepustakaan popular Gramedia)           
Rosnah Baharudin (2003). Wacana Wanita Melayu dan Sastera. Bangi: Penerbit
           Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sohaimi Abdul Aziz (2003). Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
           dan Pustaka.
________________ Ayu Utami Bantah Novelnya Berbumbu Seks. [Online]. Available:
           http://www.gatra.com/ (2006/8/7).
Katrin Bandel (2005).Heteronormatifitas dan Falosentrisme Ayu Utami. [Online].
           Available: http://www.kompas.com/ (2006/8/7).
Sumarwan . Larung dan Dekonstruksi Wacana Patriarkal. [Online]. Available:
           http://www.filsafatkita.f2g.net/ (2006/8/8)
Widya Prasetyanti (2004). Pustaka – Kisah Heroik Masa Kini. [Online]. Available:   
           http://www.vision.net/ (2006/8/8).