Wednesday, October 6, 2010

sajak: Mentafsir Kebesaran MU

MENTAFSIR KEBESARANMU
(Dua Jam Selepas Tsunami)
Selepas tragedi
mentafsir kebesaranMu
Kuala Sungai Muda, kampung mertuaku
deru ombak rezeki bertukar ganas
menggembur selut amarah
palitan catatan sejarah duka
puluhan tahun kami di sini.

Kuala Sungai Muda, kampung mertuaku
air selut masih menitis dari daun kelapa
deruan ombak masih kedengaran
panorama petaka mengungkap trauma
wajah-wajah peluh dalam basah
pastipun ombak dan laut teman hidup
berzaman lamanya.

Mengatur langkah
menyelusuri jalan kampung mertuaku
bergelimpangan kayu, kaca dan sarap
rumah ranap dihempas ombak
nasi kenduri belum sempat disantap
kenderaan tetamu tersadai di hutan nipah
ada darah masih merah berjejeran
ada mayat baru diangkat pergi
termanggu  memikirkan
menilai diri.

Trauma dan tergamam aku
petaka apa ya Rabbi
26 Disember mencatat gempar ‘Tsunami’
dada laut semak dengan perahu nelayan
dada diri semak dengan persoalan
tiada lagi harga dapat ditafsirkan
muhasabah diri Tuhan penentu segala.

Amarah ini
meleraikan kelalaian dan ketelanjuran
bersama makrifat yang benar dan kekal
lalu kita seharusnya bijak mentafsir.


Ibrahim Bakar,                                                                        26 Disember 2004.
Kuala Sungai Muda,
Kedah Darul Aman.

No comments:

Post a Comment